Saturday, March 27, 2010

DEFINISI GURINDAM

"Adapun gurindam itu, iaitu perkataan yang bersajak akhir pasangannya tetapi sempurna perkataannya dengan satu pasangannya sahaja, jadilah seperti sajak yang pertama syarat dan sajak yang kedua itu jadi seperti jawab" - RAJA ALI HAJI

"Gurindam bahasanya padat dan bernas, isinya lebih cenderung kepada riang dan sukacita sebagai nyanyian, jenaka, senda gurau, kelakar, sindir, giat yang bermain-main dan menggelikan hati" - PENDETA ZAABA

"Gurindam mengandungi nasihat, pengajaran dan kebenaran. Kalau ditilik gurindam itu dekat benar kepada pepatah dan peribahasa. Gurindam terdiri daripada dua baris. Kedua-dua baris itu bersajak dan mengutarakan satu idea yang bersambung" - PROF TAKDIR ALISJAHBANA

"Gurindam sebagai sejenis puisi yang terdiri daripada dua baris, berisi dengan berbagai-bagai pengajaran" - KAMUS DEWAN

"Gurindam isinya mengatakan suatu nasihat atau kebenaran dan biasanya terdiri atas dua baris yang bersajak. Perhubungan antara kalimat yang pertama dengan kalimat yang kedua adalah sebagai anak kalimat dengan induk kalimat atau dikatakan juga, kalimat yang pertama berisi semacam perjanjian dan kalimat yang kedua akibat atau jawab dari perjanjian itu" - ZUBER USMAN B.A

"Gurindam Bentuk Terikat terdiri daripada dua baris yang berpasangan dan rima setiap baris kebanyakannya sama. Baris pertama sebagai syarat dan baris kedua sebagai jawapan. Isi kandungannya tersurat dan tersirat nasihat serta pengajaran" - MAS ADEKI

CERAMAH MOTIVASI







TAJUK GURINDAM

1. ILMU
2. MASA
3. KATA-KATA PALING
4. PETUA 20 KATA PENAWAR
5. ANAKKU SAYANG
6. JIKA GURU BESTARI
7. BUDI BAHASA BUDAYA KITA
8. PUASA
9. MEMBACA MENJANA MINDA
10. SAYANG OH SAYANG
11. PELUANG
12. APA GUNA
13. TAN SRI P. RAMLEE SENIMAN AGUNG
14. APABILA
15. INSYA-ALLAH
16. BIJAKSANA BIJAKSINI
17. GURU PEDALAMAN
18. MAT KILAU WIRA PAHANG
19. HENDAKLAH
20. HARAPKAN HARAP
21. LEFTENAN ADNAN SAIDI
22. INSAN OKU DAN OTU
23. MEMOIR SKUAD 69 PDRM
24. BERANI MENJADI BERANI
25. PEMIMPIN CEMERLANG GEMILANG TERBILANG
26. TERIMA KASIH
27. KALAU KITA HENDAK
28. YATIM PIATU
29. BAIK PUNYA CILOK
30. LAUTAN KASIH BERPANTAI SAYANG
31. JALAN-JALAN
32. SENYUM DAN SENYUMLAH
33. KRITIK DIRI SENDIRI
34. KEMATIAN SATU KEPASTIAN
35. DATO' DR SYED AHMAD - PAKAR PIDATO
36. IBU RATU HIDUPKU
37. PIDATO

ANTOLOGI GURINDAM

"lAUTAN KASIH BERPANTAI SAYANG,
MALAM TERMIMPI SIANG TERBAYANG"

Antologi gurindam Lautan Kasih Berpantai Sayang karya Mas Adeki atau nama sebenarnya Tuan Haji Mohd Sidek Bin Mohd Dollah. Buku ini memuatkan 37 koleksi gurindam yang mengangkat tema pendidikan, pembelajaran, patriotisme dan kekeluargaan. Selain mengungkapkan puisi tradisional yang mengandungi nilai-nilai murni.

Gurindam merupakan puisi Melayu lama tergolong dalam kumpulan puisi didaktik yang mempunyai fungsi-fungsi tertentu untuk memberi nasihat, pesanan dan pedoman kepada khalayak. Buku ini juga boleh dijadikan bahan rujukan, motivasi dan pencetus semangat ke arah modal insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang. Unsur pengajaran dan penghayatan dalam gurindam dapat dilihat dengan jelas melalui idea yang bernas, pemikiran yang tajam di samping keindahan bahasanya.

Buku ini mengandungi gurindam bentuk terikat terdiri daripada dua baris yang berpasangan dan rima setiap baris kebanyakannya sama. Baris pertama sebagai syarat manakala baris kedua sebagai jawapan. Isi kandungannya tersurat dan tersirat nasihat serta pengajaran.

BIODATA

Mas Adeki ialah nama pena Mohd Sidek Bin Mohd Dollah. Dilahirkan pada 15 Ogos 1950 di Simpang Rengam, Johor. Mendapat pendidikan awal di Sk. Simpang Rengam dan Sekolah Menengah SES Kluang Johor. Berkhidmat sebagai anggota Polis, Skuad 69 PDRM, Pasukan Polis Hutan, Briged Tengah, tahun 1969 hingga 1975. Beliau pernah bertugas di perbatasan Malaysia - Thailand dan Sabah Sarawak.

Beliau menyambung pelajaran di Maktab Perguruan Bahasa (MPB/LI) Kuala Lumpur. Seterusnya menjadi guru Bahasa Melayu dan Kesusasteraan Melayu. Pada tahun 1986 beliau memperolehi kelulusan Ijazah Bacelor Pendidikan Pengajaran Bahasa Melayu sebagai Bahasa Pertama dan Kesusasteraan Melayu dari Universiti Pertanian Malaysia (UPM).

Mohd Sidek Bin Mohd Dollah pernah menjadi anggota polis, guru, penyelia petang, penolong kanan kemudian menjawat jawatan pengetua sekolah. Di samping itu, beliau sering dijemput memberi ceramah motivasi yang bertemakan Kecemerlangan Pelajar, Keibubapaan dan Profesion Perguruan.

"Lautan Kasih Berpantai Sayang" - Mas Adeki memuatkan 37 koleksi gurindam belian yang kedua. Beliau sesungguhnya telah dianugerahi bakat dalam bidang penulisan puisi untuk merakamkan catatan dan pengalaman hidup merentasi kemanusiaan sejagat terutamanya dalam genre penulisan puisi gurindam. Gurindam-gurindam beliau mengandungi nasihat dan pengajaran melalui bait-bait kata yang indah untuk dihayati oleh pembaca.

INSAN CEMERLANG ADA WAWASAN
INSAN MALANG ADA WASWASAN

- Mas Adeki -